MUZIK asli Thailand beralun lembut, mendayu-dayu menghiasi ruang lobi Hotel The Imperial Mae Ping, Chiang Mai, Selatan Thailand. Biasan sinar suria melimpahi ruang lobi dan terpanah cantik pada wajah pengacara Rasa Halal Orient Astro Oasis, Farah Diana Anuar, 26, atau Farah Akademi Fantasia (AF).
Dari situ, penulis lihat wajah penyanyi lagu Antara Dua itu begitu gembira dan teruja bercerita mengenai kejutan yang diberi oleh suaminya, Johan Johari, 26, ketika dia menjalani penggambaran di Bangkok, Thailand.
Farah tidak menyangka suaminya sanggup datang ke Bangkok semata-mata untuk berjumpa dengannya. Biarpun kedatangan suami ke kota Bangkok hanya tiga hari iaitu 1 hingga 3 Oktober lalu, ternyata ia berbaloi buat pasangan itu melepaskan rindu. Maklumlah, baru dua bulan lebih berkahwin dan menyulam cinta sebagai suami isteri, Farah dan Johan terpaksa berjauhan hampir tiga minggu demi tuntutan kerja si isteri.
"Selama enam tahun bercinta lagi kami jarang berjumpa. Kadang-kadang dua atau tiga bulan sekali baru berjumpa. Disebabkan itu sehingga kini saya merasakan macam saya dan dia baru bercinta. Ada benda yang masih perlu disesuaikan lagi," katanya ketawa.
Saat diajukan soalan mengenai Farah kepada krew produksi ternyata sikapnya sangat disenangi oleh mereka. Salah seorang krew produksi, Nurjannah Mohd. Salleh yang juga bertanggungjawab bagi bahagian perolehan Astro Oasis memberitahu, walaupun Farah merupakan seorang selebriti dan juga pengacara program tersebut dia tidak pernah merungut mengenai makanan dan juga tempat makan yang dibawa oleh pihak produksi.
Tidak timbul langsung rungutan seperti tekak tidak boleh terima makanan negara lain selain makanan yang dijamukan tidak sedap daripada mulut comel Farah. Maka tidak hairanlah, selama pengacara berzodiak Capricorn itu berada dalam industri nyanyian mahupun di bidang pengacaraan tiada langsung suara sumbang dan kontroversi yang diperkatakan melainkan kisah cintanya bersama penyanyi Adam AF yang hanya bertahan hanya beberapa ketika sahaja.
"Farah sayangkan program ini. Jadi, Farah akan fikirkan sesuatu yang lain untuk diterapkan dalam program ini.
"Untuk musim keenam ini, Farah ada berbincang dengan tenaga produksi untuk memasukkan istilah-istilah makanan. Farah juga akan pastikan apa bahan-bahan yang terkandung di dalam makanan yang Farah makan," katanya.
"Untuk album Fantasia ia tidak dapat dipasarkan walaupun Farah sudah rakamkan hampir 10 buah lagu dengan Aidit Alfian dan juga Ajai. Memang sangat kecewa tetapi nak buat macam mana ketika itu syarikat yang menguruskan kerjaya nyanyian Farah bermasalah," katanya yang rindu untuk aktif menyanyi semula.
Tidak mahu meninggalkan dunia nyanyian yang disukai, Farah akan kembali aktif menyanyi pada tahun depan. Untuk permulaan, dia baru sahaja merakamkan lagu ciptaan Edry Abdul Halim yang berjudul Warisan Hawa untuk program Ustazah Pilihan. Artis Baru Wanita Popular ABP 2005 itu juga memberitahu, masih menerima jemputan menyanyi pada hujung minggu jika mempunyai kelapangan.
Menyentuh mengenai kehidupan sebagai seorang isteri, kata Farah, dia kini sudah banyak mengenali bahan-bahan mentah dalam masakan. Jika diuji dengan jenis-jenis sayur Farah tiada masalah untuk membezakannya.
"Sejak mengacara program makanan, Farah dah tahu banyak benda mengenai masakan. Farah juga sudah cuba masak sambal udang untuk suami. Cuma lauk kegemarannya kari ikan masih belum Farah cuba buat," katanya terus terang.
Beralih soal anak pula, Farah memberitahu masih belum ada rezeki. Dia juga mengaku tidak merancang untuk mendapatkan anak.
"Farah ada dengar kalau orang rancang anak lepas itu susah nak dapat. Farah terima sahaja kalau dikurniakan anak pada bila-bila masa," katanya lagi.